Friday, January 23, 2009

Gerhana Matahari dan Solat Sunat Gerhana


Pada 26 Januari 2009, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina. Pada tarikh yang sama juga Gerhana Matahari Anulus akan berlaku selama 3 jam 46 minit bermula dari lautan India ke sebelah Barat Indonesia . Ini berlaku apabila Bulan merentas di hadapan Matahari, tetapi tidak menutup Matahari sepenuhnya kerana saiz ketara Bulan adalah lebih kecil daripada Matahari. Oleh itu, Matahari kelihatan seperti cincin yang terang atau anulus di sekeliling luar cakera Bulan Gerhana Matahari Separa akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra Bulan yang lebih luas meliputi Afrika Selatan, Madagascar, Australia kecuali Tasmania, India Selatan, Asia Tenggara dan Indonesia.

Di Malaysia, kita dapat melihat cahaya Matahari terlindung oleh Bulan sehingga mencapai liputan maksimum sehingga 82.6% dan di sesetengah kawasan ia berlaku sejurus sebelum Matahari terbenam. Kita akan berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Matahari Separa dari jam 4:30 p.m. hingga 7:00 p.m. sebelum Matahari terbenam. Secara amnya, Gerhana Matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru dan pada masa yang sama Bulan melintasi laluannya di antara Matahari dan Bumi supaya Matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya.

Rakyat Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa pada kira‐kira jam 4:30 p.m. apabila Bulan mula menyentuh cakera Matahari. Keadaan ini dikenali sebagai “sentuhan pertama” iaitu permulaan Gerhana Matahari Separa. Kebanyakan pemerhati tidak berupaya mengesan sentuhan gerhana pada masa ini disebabkan Matahari yang terlalu terang. Gerhana hanya akan dapat dilihat apabila Bulan menutupi Matahari secara perlahan membentuk sabit sehingga kegelapan maksimum tercapai pada jam kira‐kira 5:50 p.m.. Pada
akhir sentuhan kira‐kira jam 6:55 p.m., bayangan Bulan mula hilang secara perlahan sebelum Matahari terbenam.

Rajah di bawah menunjukkan apa yang akan kita nampak dari Kuala Lumpur



.
Rakyat di Semenanjung Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa daripada sentuhan pertama hingga sentuhan akhir manakala di Sabah dan Sarawak hanya berpeluang menyaksikan gerhana daripada sentuhan pertama hingga pertengahan sahaja memandangkan waktu Matahari terbenam yang berbeza mengikut lokasi.

AWAS! Melihat Matahari secara terus tanpa penuras yang selamat boleh menyebabkan kerosakan mata dan buta. Ada lima kaedah yang selamat untuk melihat Gerhana Matahari ini.

Sila Rujuk http://www.masjidnegara.gov.my/risalah_gerhana.pdf untuk maklumat waktu dan tempat berlaku kejadian gerhana matahari ini dan kaedah untuk melihat gerhana matahari.


SEHUBUNGAN DENGAN ITU MASJID NEGARA AKAN MENGADAKAN SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI SEPERTI MANA BERIKUT :-

TARIKH
: 26 JANUARI 2009 BER. 29 MUHARRAM 1430 HIJRAH
MASA
: SELEPAS SOLAT ASAR
TEMPAT
: DEWAN SOLAT UTAMA, MASJID NEGARA





No comments:

Post a Comment