Saturday, February 28, 2009

Kajian sains: Solat rawat penyakit kritikal



HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,� katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.-end-

(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat )

Thursday, February 26, 2009

KHUTBAH JUMAAT JEMPUTAN

Seperti minggu-minggu lepas, pada jumaat minggu ini, Surau al-Munir menjemput khatib jemputan untuk khutbah jumaat

Khatib Jemputan : Ustaz Masyadi Masyuti (Ulama terkenal selangor)

Tarikh : 27 Februari 2009 (Jumaat)

* sila datang lebih awal kerana tazkirah sebelum jumaat akan diadakan pada jam 1 tengahari.
*Ust akan membuat kupasan menarik kitab sabilal muhtadin berkaitan hukum2 dalam solat jumaat.

Sunday, February 22, 2009

PROGRAM "SURE SOLAT "



TARIKH : 28 FEBRUARI 2009

MASA : 8.30PAGI HINGGA 5.00 PETANG

TEMPAT : SURAU ALMUNIR, APARTMENT SRI INDAH, SERI KEMBANGAN, SELANGOR

DAFTAR SEGERA....TEMPAT TERHAD!!!! YURAN HANYA RM15

PESERTA : ANAK-ANAK YANG BERUMUR 7 HINGGA 12 TAHUN (MURID SEKOLAH RENDAH)

SILA HUBUNGI FIZA : 0136244830 IQBAL : 0133007428

ANJURAN BERSAMA SURAU ALMUNIR DAN IKATAN SISWAZAH ISLAM SERDANG (ISIS)

Siri Pengajian & Diskusi Kitab Bersama Tuan Guru Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki


Tuan Guru Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki


TARIKH : 3 Rabi’ al-Awwal 1430 / 28 Februari (Sabtu)
LOKASI : Masjid al-Falah USJ 9, Subang Jaya

(1) MASA : 9.00 pagi – 12.30 tengahri
KITAB : Hadits Riwayat 10 Shahabat Jilid 2 & Nashoih ad-Diniyah

(2) MASA : Selepas sholat Maghrib
KITAB : Zubdah Qawaid Fiqhiyyah

Friday, February 13, 2009

Khutbah: Kita Kaum Yang Tersendiri

k-hajat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan kita semua agar bertaqwa kepada Allah, mengekalkan diri dalam keadaan sedar tentang erti hidup berTuhankan Allah, menjaga perintah dan menjauhi larangan-Nya agar kita tidak mati, kecuali di dalam keadaan Muslim, itulah kejayaan hakiki di penghujung dunia dan permulaan Akhirat.

Amma Ba’du;

Di suatu ketika, seorang sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang dahulunya seorang Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim radhiyallaahu ‘anhu, bertanya kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam: siapakah yang dimaksudkan dengan al-maghdhoob ‘alayhim (golongan yang dimurkai Allah) seperti yang tersebut di dalam surah al-Fatihah? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Yahudi”. Adi bertanya lagi: siapakah pula yang dimaksudkan sebagai al-dhaalloon (golongan yang sesat) itu? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Nasrani”. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad serta dinilaikan sebagai sahih.

minbar

Kaum Muslimin sekalian,

Biar pun pada aqidah kepercayaan kaum Yahudi itu ada sesatnya, namun mereka lebih menonjol sebagai golongan yang banyak menimbulkan kerosakan yang mengundang murka Allah. Begitu juga dengan kaum Nasrani, walaupun terdapat juga perlakuan mereka yang merosakkan dan mencetuskan murka Allah, namun mereka lebih menonjol sebagai kaum yang mendatangkan kepercayaan yang sesat dan mengelirukan. Justeru Yahudi disimbolkan sebagai KAUM YANG DIMURKAI-NYA, manakala kaum Nasrani pula dilabelkan sebagai KAUM YANG SESAT.

Setiap hari, seorang Muslim bersolat dan membaca Surah al-Fatihah berulang-ulang kali. Pengulangan ini merupakan sebab mengapa surah al-Fatihah dinamakan juga sebagai al-Sab’u al-Mathaani yang bermaksud 7 ayat yang diulang-ulang. Pengulangan berlaku dalam kehidupan kita apabila ia merupakan sesuatu yang amat penting, teras dan dasar yang manusia tidak boleh hidup tanpanya. Kerana itu kita diajar, dipaksa malah mungkin dirotan agar mengulang-ulang hafalan kita terhadap sifir di dalam Matematik, kerana sifir itu adalah teras dan dasar ilmu pengetahuan yang kita sulit hidup tanpanya.

Di dalam surah al-Fatihah yang diulang-ulang sebanyak 17 kali sehari itu, kita berulang kali merayu kepada Allah Subhanahu wa Ta’aala agar mengekalkan diri di dalam petunjuk-Nya, hidup sebagai sebahagian daripada alladheena an’amta ‘alayhim (golongan yang Engkau kurniakan nikmat ke atas diri mereka). Golongan ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam surah al-Nisaa’ ayat 69 sebagai:

4_69

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, Iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)” [al-Nisaa’ 4: 69]

Berusaha untuk menjadi kaum yang beroleh rahmat dan karunia nikmat dari Allah, tidak sempurna jika sekadar mengejar Islam, tanpa menolak dan menghindarkan diri daripada lawan Islam iaitu Jahilillah. Sebagaimana kita berulang kali memohon hidayah-Nya, kita juga berulangkali mengisytiharkan penolakan kita kepada cara hidup kaum yang dimurkai Allah dan cara hidup kaum yang sesat dan bingung kepercayaannya.

Itulah intipati erti jati diri seorang Muslim.

Tersendiri pada kepercayaan dan cara hidupnya.

Istimewa dan unik mengatasi kaum yang bersalut murka dan dusta.

Sidang Jumaat rahimakumullaah,

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

hadith_yaklu

“Islam itu tinggi dan tiada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya” (Hadith riwayat al-Baihaqi dan dinilaikan sebagai sahih oleh al-Albani)

Ketinggian Islam itu bukanlah terletak pada nasab keturunan, bersikap hidung tinggi merasakan diri sebagai kaum pilihan Tuhan, tanpa sebarang nilai dan pengorbanan. Tingginya Islam adalah pada keluhuran prinsipnya dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, serta hubungan manusia sesama manusia. Islam menjelaskan dengan terang dan nyata akan erti hablun Minallaah, Islam menghuraikan Aqidah dengan luhur dan jelas sandaran. Islam juga memuliakan manusia dengan meninggikan keistimewaan manusia iaitu pada akal fikirannya. Justeru tidak tahyul dan pemaksaan kepercayaan kepada kita dalam melengkapkan diri sebagai seorang Muslim. Semuanya jelas dan luhur, serta mampu dipercayai oleh seorang manusia dan upaya dirinya.

Itulah Islam.

Bukan sahaja memurnikan jalan berTuhan dalam kehidupan, Islam juga mengatur hubungan manusia sesama manusia dengan sebaiknya. Islam menganjurkan perbuatan baik dan perkongsian manfaat sesama manusia, memuliakan keadilan, mengharam serta memerangi kezaliman dan penindasan.

Itulah Islam.

Kemuliaan yang bukan sebagai sebuah hadiah pemberiaan, tapi ganjaran atas mujahadah dan pengorbanan kita mencari kemuliaan itu.

Justeru Allah Subhanahu wa Taa’la tidak mahu kaum yang mengimani-Nya hidup dengan kerendahan. Muslim dilarang daripada memakan babi kerana salah satu hikmahnya adalah kerana tabiat buruk binatang itu yang pengotor dan memakan najisnya sendiri. Islam juga mengharamkan Muslim memakan keldai, kerana haiwan itu yang sering disinonimkan dengan kebodohan, justeru tidak layak bagi seorang Muslim untuk menjamahnya sebagai sumber tulang temulang dan daging pada tubuh badan manusia yang berTuhankan Allah.

Larangan berkenaan bukan sahaja pada soal babi dan keldai, malah kita ditegah daripada hidup secara Yahudi atau Nasrani, kerana pada kezaliman, penyelewengan dan kesesatan Aqidah itu, terhimpunnya kerendahan nilai bagi sebuah kehidupan.

Perintah Islam supaya seorang Muslim memelihara janggut, tidak melabuh-labuhkan pakaian hingga meleret di tanah, malah dalam ibadah puasa juga, dianjurkan supaya menambah puasa Asyura’ dengan satu hari sebelum atau selepasnya, serta kita ditegah daripada bersikap melampau-lampau dalam memuliakan baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, segalanya itu dengan tujuan yang SATU. Iaituilah pada memastikan diri seorang Muslim untuk sentiasa membezakan diri mereka dari kaum Yahudi dan Nasrani.

Kita kaum Muslimin, kita adalah kaum yang tersendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Inilah tugas pertama yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ke atas bahu seorang ibu dan seorang bapa;

hadith_fitrah

“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia di atas fitrah. Maka ibu bapalah yang meYahudikannya, meNasranikannya serta meMajusikannya” [Hadith riwayat Muslim / 4803]

Ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik dan menyuburkan fitrah anak-anak. Fitrah yang subur akan menggenggam Islam sebagai cara hidup yang sempurna. Pengabaian fitrah ini adalah simpang-simpang kehidupan yang menyasarkan seorang manusia daripada membesar daripada penuh potensi untuk menjadi seorang Muslim, kepada tersasar menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Oleh yang demikian, di saat kita menentang kerosakan dan kehancuran perbuatan Yahudi di bumi Palestin, menolak permainan politik diplomasi dan licik Nasrani di Rumah Putih, kembalilah ke rumah masing-masing dan perhatikan, sudahkah anak-anak kita dibesarkan sebagai seorang Muslim? Sudahkan diperkenalkan anak kita kepada Tuhannya? Sudahkan diajarkan kepada anak kita tentang tujuan hidup mereka? Apakah Islam telah menjadi nilai yang dipegang dalam tindak tanduk seharian mereka?

Jika kita membenci kerosakan perbuatan Yahudi, dan lemas dengan permainan politik kaum Nasrani, tetapi tidak pernah membenci cara hidup Yahudi serta Nasrani, sesungguhnya suara bantahan kita terhadap apa yang berlaku di Gaza, adalah senda gurau yang tidak punya sebarang makna di sisi Allah.

Sidang Jumaat rahimakumullaah,

Menjelang 14 Februari, kaum Nasrani dan masyarakat Barat sibuk meraikan Hari Valentine. Hari Kekasih yang disandarkan secara sejarahnya kepada Valentine of Rome, peristiwa mengenang Saint Valentine yang dikebumikan di Via Flaminia sekitar tahun 269M. Hari Valentine yang mengalami pelbagai penafsiran di sepanjang sejarah Eropah Moden akhirnya menjadi hari memuja kekasih, tidak terhad hanya kepada nilai, cara hidup dan kaum Nasrani di Barat, malah akhirnya menyerap sebagai budaya kaum Asia.

Malang sekali, ritual yang tidak punya sebarang kaitan dengan kita sebagai kaum Muslimin, sedikit demi sedikit terserap sebagai budaya dan amalan anak-anak muda kita.

Perlu ditegaskan, seorang suami berkewajipan menghargai sang isteri, begitu juga seorang isteri terhadap suaminya. Ia adalah sebesar-besar ajaran Islam. Namun penghargaan yang ingin diberi, telah ada caranya menurut ajaran Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak seharusnya kita mengambil ritual kaum lain, apatah lagi dosa di atas dosa, tatkala penghargaan itu adalah pada sebuah perhubungan di luar akad perkahwinan!

Ingatlah amaran Allah Subhanahu wa Ta’aala:

43_67

“Para kekasih dan teman akrab, pada hari itu, akan saling menjadi musuh di antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]

Para kekasih yang berkasih dalam belenggu dosa, kasihnya hanya hiasan nafsu di dunia. Di akhirat kelak, tatkala para kekasih ini berdepan dengan keputusan Allah ke atas mereka, setiap seorang akan bermusuhan dengan orang yang pernah dikasihinya, kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri. Hanya yang bertaqwa sahaja beroleh jemputan berikut:

43_68-70

(Mereka - yng bertaqwa - itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hamba-Ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita”.(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,
70. (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”
[al-Dzukhruf 43 : 68-4-70]

Jika mahu membalas cinta, balaslah dengan cara yang menyampaikan dua kekasih itu ke syurga. Bukan cinta berbalas dosa.

Bukanlah soal bunga ros atau sekeping kad itu yang menjadi persoalan, tetapi kemusnahan jati diri sebagai seorang Muslim, dan sikap terhegeh-hegeh meniru segala yang datang daripada Barat itulah yang menjadi persoalannya.

Sabda Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Setiap masa, suami tanyalah kepada isteri dan isteri tanyalah kepada suami, di manakah anak-anak kita. Jangan tidak lekatnya mereka di rumah itu, rupa-rupanya mereka sedang berbondong-bondong masuk ke lubang biawak Yahudi dan biawak Nasrani.

109_1-6

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agama aku” [al-Kaafiroon 109: 1-6]

endnotekhutbah

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2008)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

KHUTBAH INI TELAH DISAMPAIKAN DI SURAU ALMUNIR, APARTMENT SRI INDAH, SERI KEMBANGAN PADA 13 FEBRUARI 2009

Thursday, February 12, 2009

Khutbah Bulanan jemputan


Disampaikan oleh :
Yang berbahagia al fadhil ustaz Hasrizal Jamil (Moderator Saifulislam.com)

Pada : 13 Februari 2009 , Jumaat, 12.24tengahari, akan dimulai dengan tazkirah jumaat dahulu

Audio:Khutbah_Us_Saiful_Islam_13_Feb_2009.mp3

NO VALENTINE CAMPAIGN!!!


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Tuesday, February 10, 2009

Adab-adab menyambut kelahiran (Adaptasi daripada Ihya’ Ulumiddin Imam Ghazali)

1) Jangan terlebih gembira dengan anak lelaki dan berdukacita dengan anak perempuan.

Sesungguhnya kita tidak mengetahui yang mana satu memberi kebaikan. Berapa ramai yang kita temukan dianugerahkan dengan anak lelaki tetapi tidak menginginkannya atau dengan kata lain dia lebih mengharapkan anak perempuan. Bahkan ada kala anak perempuan lebih membahagiakan dan pahala yang diperoleh daripadanya lebih banyak.


Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa’ ayat 11:

آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا

Maksudnya: lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.

Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan oleh at-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: مَنْ كَانَتْ لَهُ ابْنَةٌ فَأَدَّبَهَا فَأَحْسَنَ أَدَبَهَا، وَعَلَّمَهَا فَأَحْسَنَ تَعْلِيمَهَا، وَأَوْسَعَ عَلَيْهَا مِنْ نِعَمِ اللَّهِ الَّتِي أَسْبَغَ عَلَيْهِ، كَانَتْ لَهُ مِنْعَةً وَسُتْرَةً مِنَ النَّارِ.

Maksudnya: Daripada Abdullah berkata: Aku mendengar rasulullah s bersabda: Sesiapa yang mempunyai anak perempuan dan dia mendidiknya dengan sebaik-baik didikan, mengajarnya dengan sebaik-baiknya dan melapangkannya dengan segala nikmat yang Allah anugerah kepadanya (ibu/bapa), nescaya anak perempuan itu menjadi penghalang dan pengadang daripada api neraka.


2) Melaungkan azan di telinga anak.

Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan Tirmidzi yang merupakan hadis Hasan Sahih:

عَنْ عَاصِمِ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي رَافِعٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ بِالصَّلَاةِ

Maksudnya: Daripada A’sim bin Ubaidillah bin Abi Rafi’ daripada ayahnya berkata: Aku melihat Rasulullah s mengazankan di telinga Hasan bin Ali dengan azan sembahyang ketika fatimah melahirkannya.


Diriwayatkan oleh Ibn Sunni secara marfuk daripada hadis Husain dengan lafaz;


مَنْ وُلِدَ لَهُ مَوْلُودٌ فَأَذَّنَ فِي أُذُنه الْيُمْنَى وَأَقَامَ فِي الْيُسْرَى لَمْ تَضُرَّهُ أُمُّ الصِّبْيَان

Maksudnya: Sesiapa yang dianugerahkan anak, maka dia mengazankan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri, nescaya ummu sibyan (Jin) tidak boleh memudaratkannya.

3)Juga disunatkan mengajarkan ucapan “لا اله الا الله apabila kanak-kanak sudah boleh bercakap. Jadikan ucapan syahadah sebagai ucapan pertamanya. Berkata Ibn Juzai: Berkhatan di antara usia tujuh hingga 10 tahun kerana ia merupakan usia awal ibadat dituntut dan sunat membuat kenduri berkhatan bagi anak lelaki. Berkata Imam Ghazali: Khatan sunat pada hari ke tujuh berdasarkan hadis di dalam as-Sunan al-Kubra:


عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْكَدِرِ عَنْ جَابِرٍ قَالَ : عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ وَخَتَنَهُمَا لِسَبْعَةِ أَيَّامٍ.

Maksudnya: Daripada Muhammad bin al-Munkadir daripada Jabir berkata: Rasul s melakukan akikah untuk hasan dan husain dan khatan keduanya pada hari ke tujuh.


4) Memberikan nama yang baik.

Ini merupakan hak anak untuk mendapat nama yang baik. Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan oleh at-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir:

عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بن أَبِي زُهَيْرٍ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"إِذَا سَمَّيْتُمْ فَعَبِّدُوا"

Maksudnya: Daripada Abd Malik bin Abi Zuhair daripada bapanya berkata: Sabda Nabi s: Jika kamu menamakan anak, maka letakkan nama yang membawa maksud perhambaan (Abd).

Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ : سَمُّوا بِاسْمِى وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِى

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah t bahawa sesungguhnya Nabi s bersabda: Namakan (anak kalian) dengan nama ku tetapi jangan mengambil gelaran seperti gelaran ku (Abu Qasim).

Anak yang keguguran juga sunat diletakkan nama. Juga disunatkan menukar nama yang tidak elok. Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud:


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ


Maksudnya: Daripada Abu Darda’ berkata: Bersabda Rasul s: Sesungguhnya kalian akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kalian dan nama-nama ibu bapa kalian, maka indahkan nama-nama kalian.

5) Akikah.

Untuk anak lelaki dua ekor kambing, manakala anak perempuan seekor kambing. Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan di dalam as-Sunan al-Kubra


عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ :« يُعَقُّ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافَأَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ ». قَالَتْ : وَعَقَّ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ شَاتَيْنِ يَوْمَ السَّابِعِ وَأَمَرَ أَنْ يُمَاطَ عَنْ رَأْسِهِ الأَذَى. وَقَالَ : اذْبَحُوا عَلَى اسْمِهِ وَقُولُوا بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ لَكَ وَإِلَيْكَ هَذِهِ عَقِيقَةُ فُلاَنٍ

Maksudnya: Daripada Aisyah g daripada Nabi s bersabda: Dibuat akikah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang (sama besar/sama umur) dan untuk anak perempuan seekor kambing. Berkata Aisyah: Rasulullah s membuat akikah untuk Hasan dan Husain dengan dua ekor kambing dan memerintahkan untuk mencukur rambut. Sabda Nabi s: Sembelihlah dengan nama Allah dan ucapkanlah “dengan nama Allah dan Allah maha besar. Ya Allah, untuk Mu dan kepada Mu akikah fulan ini”.

6)Juga termasuk di dalam perkara sunah bersedekah senilai timbangan rambut yang dicukur dengan nilaian emas atau perak. Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan oleh Tirmidzi daripada Ali bin Abi Talib:


يَا فَاطِمَةُ احْلِقِي رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِي بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً قَالَ فَوَزَنَتْهُ فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ


Maksudnya: Wahai Fatimah, cukurlah kepalanya (Hasan) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya dengan perak. Berkata Ali: Fatimah menimbang dan beratnya satu dirham atau sebahagian dirham.

Berkata Saidatina Aisyah: “Jangan dipatahkan tulang korban akikah”. Optimis tulang anak yang dilahirkan sempurna dan sihat.


7)Tahnik dengan kurma atau manisan.

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim;

عَنْ أَسْمَاءَ أَنَّهَا حَمَلَتْ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ بِمَكَّةَ قَالَتْ فَخَرَجْتُ وَأَنَا مُتِمٌّ فَأَتَيْتُ الْمَدِينَةَ فَنَزَلْتُ بِقُبَاءٍ فَوَلَدْتُهُ بِقُبَاءٍ ثُمَّ أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعَهُ فِي حَجْرِهِ ثُمَّ دَعَا بِتَمْرَةٍ فَمَضَغَهَا ثُمَّ تَفَلَ فِي فِيهِ فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ حَنَّكَهُ بِالتَّمْرَةِ ثُمَّ دَعَا لَهُ وَبَرَّكَ عَلَيْهِ وَكَانَ أَوَّلَ مَوْلُودٍ وُلِدَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya: Daripada Asma’ sesungguhnya dia mengandungkan Abdullah bin az-Zubair di Mekah. Dia berkata: Aku keluar (dari Mekah) ketika hampir melahirkan dan memasuki Madinah. Aku singgah di Quba dan melahirkannya di situ. Kemudian aku menemui Rasulullah s lalu baginda meletakkan Abdullah di riba baginda. Kemudian baginda meminta kurma dan mengunyahnya kemudian meludah ke dalam mulut Abdullah. Benda pertama yang memasuki rongga Abdullah ialah air liur Rasulullah s kemudian mentahniknya dengan tamar. Kemudian baginda mendoakannya dan memberkatinya. Abdullah kanak-kanak pertama yang dilahirkan di dalam Islam.

Sunday, February 8, 2009

HANYA 14 FEBRUARI UNTUK BERKASIH SAYANG???

Setahun telah berlalu. Kini Februari muncul kembali............Begitu senikata lagu alunan kumpulan Alleycat. Lagu yang menjadi siulan golongan muda-mudi.Namun terdapat satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh mereka pada bulan ini .14 Februari hari yang amat dinanti khususnya mereka yang asyik bercinta. 14 Februari diwar-warkan sebagai hari berkasih sayang.

Valentine Days yang diraikan diumpamakan berkasih sayang teruna dan dara. Maka penjual-penjual bunga mempromosi jualan bunga ros sebagai hadiah kepada pasangan-pasangan masing-masing sebagai tanda cinta dan kasih sayang.

Persoalannya, apakah luahan kasih sayang itu perlu diterjemahkan secara bermusim?Apakah ia terhad kepada luahan kasih sayang seorang pemuda kepada pasangan hingga melanggar batas-batas syarak.Apa yang lebih menyedihkan, golongan muda-mudi Islam menyambutnya tanpa mengetahui asal usul valentine day itu. Adakah ia sekadar budaya atau telah melampau batas akidah.

Valentine Days atau hari Kekasih ini merupakan ritual agama kristian. Terdapat tiga versi pengkisahan sejarahnya yang boleh disimpulkan bahawa sambutan yang diraikan oleh muda-mudi Islam tanpa batas dan membuta tuli boleh merosakkan akidah. Pasangan kekasih adakalanya meraikan Hari Kekasih ini di pub, disko dan hotel yang berakhir di bilik-bilik hingga berlakunya zina yang kononnya sebagai tanda cinta kepada pasangan yang mereka sayangi.

Valentine diambil dari nama seorang paderi yang begitu berpengaruh di zaman pemerintahan ratu dari Sepanyol. Versi pertama menceritakan bahawa Valentino adalah orang terpenting Ratu Isabella yang berjasa menumpaskan Kerajaan Islam Kordoba, Sepanyol. Ratu Isabella dan seluruh rakyat menganggap dia sebagai kekasih lalu 14 Februari itu diraikan sebagai tanda kemenangan dalam menyembelih dan menumpaskan umat Islam serta memadamkan cahaya Islam di Sepanyol.

Versi kedua menceritakan bahawa sebelum kejayaan menumpaskan Islam, Valentino dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertamanya beragama Islam dan kekasih keduanya beragama kristian.Memandangkan ia berlainan agama, maka ia terpaksa melupakan kekasihnya yang Islam dan menumpukan kepada kekasih kedua yang berfahaman Protestan.Apabila beliau berjaya menumpaskan kerajaan Islam, Maka ratu Isabella bertanya kepadanya apakah bentuk ganjaran yang ingin dikurniakan atas kejayaan itu.Lantas Valentino menyatakan keinginan untuk mengahwini kekasihnya yang berfahaman protestan. Permintaan itu menimbulkan kemarahan Ratu Isabella kerana beliau berfahaman katholik sedangkan kekasihnya protestan. Tambahan pula beliau merupakan seorang paderi yang sememangnya tidak boleh berkahwin. Atas kemurkaan inilah, beliau dipenjarakan tetapi sebagai mengenangkan jasanya maka 14 Februari dianggap sebagai hari Kekasih


Versi ketiga pula menceritakan bahawa ia adalah memperingati kematian tragis seorang paderi iaitu ST Valentine yang dibunuh oleh raja Claudius !! kerana mengahwini ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah menjadi tentera.

Jelaslah, menyambut Valentine Day amat bertentangan dengan Islam. Malah sesiapa di kalangan umat Islam yang meraikannya samalah seperti ia meraikan perjuangan seorang paderi yang telah berjaya meruntuhkan Islam di bumi Sepanyol. Kita juga seolah-olah mengiktiraf perilaku seorang kasanova yang mengheret dua kekasih dalam satu masa dalam percintaan terlarang.

Apabila kita meraikan ritual agama lain, maka samalah seperti kita meredhainya dan ia dikira menyekutukan Allah(syirik) sedangkan syirik merupakan dosa yang tidak terampun.

Tema Hari Kekasih adalah kasih sayang. Namun wajarkah sebagai umat Islam, kita menumpahkan kasih sayang berlebih-lebihan kepada pasangan sedangkan kia ada kekasih yang kekal abadi iaitu Allah Taala. Kemudian diikuti Rasulullah SAW dan seterusnya kedua ibubapa yang membesarkan kita.Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat siapakah yang terselamat di akhirat kelak. Maka Nabi bersabda: ”Mereka itu adalah golongan yang menuruti perjalananku dan perjalanan para sahabatku”.

Dalam meletakkan cinta yang sewajarnya juga, Islam meletakkan cinta insan yang agung hanya kepada Penciptanya iaitu Allah Taala. Islam tidak menolak naluri semulajadi manusia yang ingin bercinta, dicintai atau berkasih, namun ia hendaklah dalam batasan tertentu dan tidak melebihi cinta pada Penciptanya.

Lebih dari itu, galakkan bercinta dan berkasih sayang itu hendaklah sepanjang masa dan bukan terhad kepada tempoh tertentu. Tanda cinta kita kepada Allah dan rasul ialah dengan mematuhi segala titah perintahnya dan menjauhi segala larangannya dalam setiap keadaan.

Terdapat tiga tanda untuk mendapat kemanisan iman iaitu:
1)Cinta kepada Allah dan Rasulullah lebih dari seisi dunia
2)Kasih dan benci sesuatu kerana Allah
3)Terlalu takut kepada kekufuran serta cukup takut dilontar ke dalam api neraka.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada persidangan 23 Jan 2006 telah memutuskan seperti berikut: ”Amalan meraikan Valentine Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam” Fatwa yang sama juga dikeluarkan Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak(Fatwa) Selangor yang telah bersidang pada 21 Februari 2006.

Kesimpulannya, marilah kita renungkan firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 120 yang bermaksud:” Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau(Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka(yang telah terpesong itu).

Waallahu A’lam

Disediakan Oleh :


Nordin bin Bayadi Unit Penerangan dan Penerbitan Bahagian Dakwah, JAIS

JANGAN BERSEDIH SAHABAT.....

Saturday, February 7, 2009

MALAM SAVE GAZA DI BANGI


Kuliah Bulanan Di Surau Al-Munir (Kuliah Magrib)

DISAMPAIKAN OLEH : USTAZ MASYADI MASYUTI (ULAMA TERKENAL SELANGOR)

PADA : 7 FEBRUATI 2009 , SELEPAS SOLAT MAGRIB

JEMPUTLAH HADIR MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

Sebelum Dibius Cinta

“Bodoh punya batu, kenapa kau langgar kekasih aku?” marah seorang lelaki kepada seketul batu yang ‘melanggar’ buah hatinya.

“Oh abang, biar pun baju abang masam, masam itulah masam-masam manis jiwaku!” kata seorang ‘gelifriend’ kepada ‘buayafriend’ beliau.

Dialog di atas adalah ayat-ayat cinta yang biasa. Biar pun bunyinya sangat luar biasa kepada manusia biasa, ia amat biasa dan perlu bagi dua belangkas yang sedang mabuk cinta. Sama ada cinta di antara dua pasangan yang belum bernikah, atau yang pengantin baru yang sedang menikmati bulan-bulan madu mereka.

BIUS CINTA

Memang cinta itu luar biasa. Cinta bukan sahaja buta, malah boleh membutakan lagi melumpuhkan mereka yang terkena panahannya.

“Aku dibius cinta!” kata Melly Goeslow.

Kemabukan cinta ini menyulitkan kita untuk merasionalkan perbincangan. Perbahasan-perbahasan tentang do’s and don’ts yang dikemukakan untuk keelokkan jangka panjang cintanya, ditepis sambil pandangan melirik sebelah mata sahaja.

belangkas

Namun, saya ingin mengajak pasangan yang sedang mabuk cinta, belangkas yang sedang bertelinga tuli dari nasihat-nasihat di sekitar mereka, supaya duduk sejenak dan berusaha untuk menjawab soalan-soalan realiti yang saya senaraikan di bawah nanti, sesuai untuk meneroka kembara mawaddah dalam sebuah rumahtangga yang kekal hingga ke hujung nyawa.

Firman Allah SWT:

30_21

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Rum 30: 21]

Sesungguhnya mawaddah itu adalah cinta yang tumbuh, terbina dan bertambah dari semasa ke semasa di sepanjang bahtera perkahwinan dilayari. Cinta yang terbit dari satu demi satu kejayaan suami dan isteri menempuh kesukaran, kesulitan dan cabaran hubungan perkahwinan mereka.

Agar bulan madu itu bulannya menjadi tahun yang berpanjangan, dan madu tidak menjadi racun, saya mengajak setiap pasangan yang masih ’sedar’ sebelum dibius cinta, agar menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur dan telus. Jangan tergesa-gesa menjawabnya, fikirkan satu persatu, sehari demi sehari, sebelum menabur janji menyulam kata, sebelum janji dimeterai, sebelum ikatan disahkan agama:

SOALAN PEREMPUAN KEPADA PASANGANNYA:

  1. Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?
  2. Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang kurasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?
  3. Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Masihkah aku buah hatimu?
  4. Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?
  5. Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?
  6. Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita, apakah aku masih kekasih hatimu?
  7. Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kauhadiahkan kepadaku, masihkah engkau mencintaiku?

SOALAN LELAKI KEPADA PASANGANNYA:

  1. Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah engkau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?
  2. Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita di hatimu?
  3. Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh dari mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?
  4. Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu menceriakan aku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?
  5. Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan massa, dan aku terpaksa selalu ke sini sana untuk bekerja. sabarkah engkau dengan suasana itu, dan aku masih cinta hatimu?
  6. Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumahtangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumahtangga kita?
  7. Sekiranya rumahtangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang pernah kauhadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikan rupa. Memohon kepada Allah agar tidak dibebankan dengan ujian yang di luar upaya diri.

2_286

“…Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya” [al-Baqarah 2: 286]

Namun, menyedari bahawa kehidupan berumahtangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh dari realiti alam nyata, pastikan langkah kaki tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir di minda.

Sesungguhnya saya senaraikan 14 soalan, separuh untuk bakal suami dan separuh untuk bakal isteri, bukanlah soalan yang direka-reka tanpa asas. Mengendalikan sesi perkongsian di antara teman-teman dan peserta program, bertukar-tukar pandangan serta nasihat dari golongan yang lebih berusia, mengumpulkan hal-hal ini untuk direnung oleh kita semua.

Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya. Bahawa cinta dan rumahtangga kita indah semuanya. Tidak akan diuji sedemikian rupa. Sebagaimana semasa melihat kematian, kita sering melihat kematian itu kematian orang lain, tanpa pernah meletakkan diri di ketentuan itu. Biar pun mati itu pasti, kita yakin ia bukan giliran kita. Masih punya masa, masih punya ketika.

Tidak membuat persediaan, itulah kematian sebelum mati.

Membiarkan diri dibius cinta, itulah racun pemusnah cinta, apabila cinta realiti, diterbangkan ke langit impian, hingga kaki tak jejak bumi, tangan gagal menggapai awan.

Sebelum anda dibius cinta… soallah diri sejauh mana anda bersedia?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG, SELANGOR

Tuesday, February 3, 2009

Kuliah Bulanan Di Surau Al-Munir (Kuliah Magrib)

Disampaikan oleh :
Yang berbahagia al fadhil ustaz Hasrizal Jamil (Moderator Saifulislam.com)

Pada : 12 Februari 2009 , Selasa, selepas maghrib

Perbincangan kuliah adalah sekitar "Mengapa Menjadi Muslim"